mutakhir

Sempat berbalas mesej sebelum maut

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seakan tidak percaya mesej yang diterima tengahari tadi adalah perbualan kali terakhir dengan anak perempuannya.

Itu luahan Nor Asikin Ahmad 50, ibu kepada Nor Syahira Mohd Fadhail, 23, yang maut bersama bayi lelakinya, Muhammad Rayyan Nauffal selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam nahas tragis di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands tengahari tadi.

Nor Asikin berkata, dia sempat berbalas mesej dengan anak perempuan keduanya itu kira-kira selang setengah jam sebelum dikhabarkan berita duka menimpa anaknya itu.

Menurutnya, Nor Syahira bergerak dari rumah di Taman Jerai Indah Emas di Gurun pada petang Ahad dan memaklumkan akan tidur selama dua malam di sebuah hotel di Ipoh sebelum naik ke Cameron pagi ini.

"Saya sempat mesej dengannya melalui WhatsApp pada kira-kira jam 12 tengahari itu dan dia memberitahu ada membeli buah strawberi, jagung.

"Dia maklum sudah dalam perjalanan nak turun (dari Cameron Highlands) tetapi kemudian saya mesej pada jam 12 lebih dia tak balas," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam ini.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai insiden yang menimpa anaknya itu pada kira-kira jam 1.30 petang daripada seorang lelaki melalui kumpulan WhatsApp taman perumahannya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara tetapi dirinya tidak dapat tidur lena dan terjaga beberapa kali seolah-olah menjadi petanda kepada pemergian anaknya itu.

"Malam tadi saya tidur tak lelap tak tahu kenapa, beberapa kali terjaga, tidak memikirkan dia tetapi pelik kejap-kejap saya terjaga.

"Bila dapat tahu berita saya tak boleh nak terima.. saya redha tetapi kadang-kadang sedih," katanya.

Tambahnya, anaknya itu tinggal bersamanya sepanjang mengandung sehingga berpantang kerana kerap mengalami alahan teruk.

Katanya, pagi Ahad sebelum keluar rumah anaknya yang dipanggil dengan nama panggilan Ira itu juga sempat memasak nasi dan belikan lauk ikan siakap bakar kerana dirinya demam.

"Jumaat baru-baru ini kakaknya nak buat jamuan barbeku, oden, di rumah saya, mula-mula nak buat Ahad tetapi tidak jadi kerana Sabtu dia (Ira) nak balik rumah mak mentuanya.

"Sempatlah kami makan bersama-sama, itulah kali terakhir," katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik dengan kehadiran beberapa ahli keluarga terdekat.

Sebaik selesai urusan bedah siasat jenazah dua beranak dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Badak Gurun, Kedah.

Hari ini, media melaporkan, ibu dan bayinya maut manakala seorang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini tengah hari tadi.

Berita berkaitan:

  • Ibu, bayi maut kereta bertembung
  • Disiarkan pada: October 11, 2022 @ 10:38pm
    d