mutakhir

Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah tulang kaki [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap muridnya sehingga patah tulang kaki kanan.

Tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa yang berusia sembilan tahun dengan menyebabkannya patah tulang di bahagian kaki kanan.

Kesalahan itu dilakukan dengan cara mengangkat dan menghempas mangsa di sebuah kerusi kayu di dalam sebuah kelas di sekolah rendah di daerah ini jam 4.15 petang pada 6 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Media sebelum ini melaporkan murid lelaki patah kaki kanan selepas didakwa dihempas seorang guru KAFA dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu ketika mangsa berada di sekolah berkenaan.

Ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kejadian menimpa anaknya kira-kira jam 5 petang hari yang sama selepas mangsa mengadu kakinya sakit.

Disiarkan pada: October 12, 2022 @ 11:29am
d