mutakhir

Elak individu tercicir bantuan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat sistem pangkalan data eKasih itu terlalu lama dan perlu distruktur semula supaya tiada lagi individu tercicir daripada mendapatkan bantuan.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu pihaknya mencadangkan sistem bersepadu dibangunkan bagi memudah cara proses penyaluran bantuan yang lebih menyeluruh serta berpusat.

Katanya, kini hampir semua agensi dan kementerian menyediakan bantuan, namun masih ada individu atau kelompok tertinggal atau tercicir.

"Sistem eKasih tidak cukup kemas, jika di Australia saya diberitahu mereka ada juga sistem seumpama ini namun berbeza. Di sana, sekiranya seseorang itu dah jatuh miskin atau dibuang kerja, automatik sistem itu memaklumkan dengan segera terdapat individu memerlukan bantuan dan dia dapat bantuan itu dengan segera.

"Namun kalau (sistem) kita, selagi tak sampai ke mana-mana jabatan, entah berapa lama lagi kena tunggu (untuk dapatkan bantuan) dan mungkin bantuan diterima selepas setahun.

"Itu tidak cukup bagus, sebab sistem eKasih itu kita dah lama pakai jadi perlu dibuat penyusunan semula. Kita mahu mengintegrasikan kumpulan ini, kita pasti ada seorang atau dua tercicir.

"Atau ada yang patutnya dapat bantuan sekali, tetapi dapat dua kali, yang sepatutnya dapat, dia tak dapat langsung. Langkah tindakan untuk kita bantu mereka ini terlalu lama, jadi itu tujuan kita mahu laksanakan sistem ini," katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negera dan Keterangkuman Sosial di sini.

Turut hadir dalam seminar berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.

Muhyiddin berkata, dengan mengintergrasikan data penerima yang layak, semua agensi dapat menggunakan satu sistem sama serta boleh memproses saluran bantuan termasuk subsidi dapat diagihkan secara telus dan cekap.

"Mekanisme ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

"Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara. Sistem bersepadu ini juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima rakyat Malaysia sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi," katanya.

Sementara itu, mengenai seminar berkenaan Muhyiddin berkata, terdapat 12 penyelidik yang membentangkan kajian penyelidikan dibawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).

Katanya, mereka adalah sebahagian daripada 30 penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang menerima geran MPDP untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial khususnya bagi membantu langkah pemulihan negara.

"Antara skop kajian merangkumi isu kemiskinan, pemerkasaan golongan rentan, meningkatkan daya tahan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), pemulihan sektor pelancongan dan kelestarian ekonomi hijau," katanya.

Antara ahli panel untuk sesi Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial ialah Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Medaline Berna dan Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akedemik, Universiti Teknologi MARA (Sabah) Dr Firdaus Suffian.

Profesor Medaline dalam pembentangannya menyatakan jurang antara Sarawak dan Sabah jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia adalah sangat luas dan pelbagai aspek perlu dititikberatkan sebelum negara mampu pulih sepenuhnya.

Jika dilihat dari aspek kesihatan sebagai contoh, kebanyakan penduduk setempat tidak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti akibat situasi klinik yang tidak lengkap.

Disiarkan pada: October 14, 2022 @ 6:15am
d