mutakhir

KUIS dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Bangi: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) berkuatkuasa semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS, Datuk Haris Kasim berkata, perkara itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

"Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan terima mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

"Tahniah dan syabas kepada KUIS atas perkhabaran baik ini. Saya berharap KUIS sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor akan terus menjadi universiti terbaik sejajar dengan hasrat Tuanku Sultan Selangor yang mahukan universiti kita berada pada kedudukan terbaik", katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof Datuk Dr Husaini Omar, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Ahli Lembaga Pengarah KUIS, Prof Adjung Datuk Setia Salehuddin Saidin dan Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Sementara itu, Farid Ravi berkata, pengiktirafan naik taraf ini akan membawa UIS sebagai sebuah universiti yang gemilang dalam melahirkan dai, ulama dan umarak.

"UIS bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui penggunaan teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

"UIS juga akan terus membentuk dan mendidik generasi ummah agar menjadi insan soleh melalui dasar pendidikan yang berteraskan ilmu naqli dan ilmu aqli yang berpaksikan tauhid untuk melahirkan generasi profesional yang seimbang bagi menghadapi cabaran zaman", katanya.

Selepas naik taraf itu, UIS tetap mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam.

Disiarkan pada: October 14, 2022 @ 3:35pm
d