mutakhir

'Tiga negeri minta saya bertanding, pening juga' - Anwar

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Shah Alam: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berteka-teki dengan kawasan yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Penyandang Parlimen Port Dickson itu secara berseloroh mengatakan 'pening' memikirkan kerusi yang bakal ditandingi beliau kelak.

Beliau berkata, beberapa kepimpinan negeri tertentu seperti Negeri Sembilan, Johor dan Perak memintanya untuk bertanding di mana-mana kawasan di negeri berkenaan.

"Itulah seriously pening juga… Negeri Sembilan minta, Johor minta, Perak minta. Pulau Pinang saja tidak minta saya balik bertanding," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU-15 Wanita PH di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR membayangkan untuk memberi laluan kepada calon lain mewakili parti berkenaan untuk bertanding kerusi disandangnya.

Antara nama disebut termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dikatakan bakal dipertaruhkan PKR bagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson.

Dalam satu majlis bulan lalu, Anwar juga pernah memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen yang disandang oleh 'pengkhianat' PKR dan PH, namun beliau tidak menamakan kawasan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu ditanya peluang PH dalam menghadapi jangkaan pertembungan lebih tiga penjuru pada PRU-15, Anwar berkata, tumpuan akan tetap diberikan kepada persiapan jentera bagi memenangkan calon-calon PH.

"Kita juga dapat lihat hari ini mesej iltizam dan kekuatan wanita salah satu tonggak kekuatan dalam PH bagi menghadapi PRU-15," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Anwar turut mengulangi janji bahawa PH akan sedaya-upaya memenangi kembali kerusi yang disandang 'pengkhianat' parti pada PRU-15.

"Kita akan pastikan kerusi 'pengkhianat' ini jangan ada satu pun 'survive', kita humban habis semua.

"Kita juga akan bawa perubahan dan pastikan calon kita menang dengan bergaya. Relevannya reformasi PH adalah kita menegakkan keadilan untuk semua," katanya.

Terdahulu pada sidang medianya pagi tadi, Anwar berkata, PH akan memutuskan perkara berkaitan logo dan pembahagian kerusi bagi PRU-15 pada Konvensyen PH di Ipoh, Khamis ini.

Disiarkan pada: October 15, 2022 @ 6:27pm
d