mutakhir

'Lori dipercayai dipandu laju ketika jalan sesak'

Oleh Omar Ahmad

Kulai: "Ketika kejadian, jalan memang sesak, tiba-tiba datang sebuah lori lorong kiri laju terus melanggar beberapa buah kenderaan." Demikian kata saksi kejadian, Mohd Ridhwan Othman, saksi kejadian nahas empat kenderaan yang menyebabkan dua mangsa rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat sini, malam tadi.

Dia yang pada masa itu dalam perjalanan ke Johor Bahru berkata, jalan sedikit sesak dan kenderaan bergerak perlahan ketika itu.

"Ketika kejadian saya memang berada di lokasi, pergerakan kenderaan perlahan ketika itu.

"Di lorong kiri, tentunya untuk pemanduan yang tidak laju, tetapi tiba-tiba datang sebuah lori terus merempuh beberapa kenderaan lain.

"Kejadian sangat pantas, tidak lama kemudian beberapa kenderaan terus terbakar dan api marak. Seorang lelaki menjerit memanggil isterinya dan memberitahu kami bahawa terdapat isterinya di dalam kereta yang terbakar.

"Kami hanya boleh menenangkan lelaki tersebut dan membawanya ke kawasan jauh sedikit demi keselamatannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Jelas Mohd Ridhwan, akibat kemalangan itu, lebuh raya ditutup sementara oleh pihak berkuasa bagi tujuan operasi pemadaman dan penyelamatan.

"Saya lihat memang sesak lebuh raya akibat kemalangan ini. Hampir tiga hingga lima jam tersekat di atas lebuh raya," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 8:15am
d