mutakhir

Suami masih trauma, berduka [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Suami wanita yang maut tersepit dalam kenderaan terbakar susulan kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berdekatan Sedenak, malam tadi, masih dalam keadaan terkejut serta masih menenangkan dirinya.

Sepupu lelaki berkenaan, Nur Izzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata, Redzuan Jamil, 30, masih terjejas dengan insiden menyayat hati itu sehingga enggan makan dan minum sejak kejadian itu.

"Suami Allahyarham Azi, masih dalam keadaan terkejut dan trauma. Ibunya memaklumkan Redzuan masih terganggu sehingga mengigau memanggil nama isterinya berkali-kali ketika tertidur akibat keletihan malam tadi.

"Doakan suaminya tabah menghadapi dugaan berat ini," katanya ketika ditemui media di kediaman ibu bapa Allahyarham Nurul Nazihah Kamalul Arifin di Kampung Lukut, Batu 4 di sini, hari ini.

Malam tadi tular video menyayat hati Redzuan menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam itu, dua individu maut dalam kenderaan membabitkan lima kenderaan termasuk dua daripadanya terbakar.

Ketika kejadian, Nurul Nazihah Kamalul Arifin atau dikenali sebagai Azi, dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

Dalam pada itu,Nur Izzah berkata, sepupunya itu sebenarnya ditarik keluar dari kereta yang sedang marak terbakar oleh orang ramai di lokasi kejadian.

"Tadi Redzuan ada memaklumkan orang ramai di lokasi kejadian menariknya keluar dari pintu belakang berikutan kebakaran pada kereta dinaikinya semakin marak.

"Redzuan cedera di muka akibat melecur namun dia sangat ralat tidak berjaya menyelamatkan isterinya itu," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 2:51pm
d