mutakhir

6 kampung di Langkawi dilanda banjir [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Langkawi: Enam kampung di lima mukim di pulau ini terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan serta angin kencang yang melanda sejak semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Shahfikri Darus berkata, antara kawasan yang terjejas banjir adalah Kampung Teluk, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim di Tanjung Rhu, Kampung Padang Lalang dan Kampung Pasir Hitam dan Kampung Kuala Melaka.

Beliau berkata, selain itu, Pulau Tuba dan Telaga Tujuh di Mukim Padang Mat Sirat turut terjejas.

"Selain itu, ada kawasan yang turut dipenuhi air iaitu di Kampung Belanga Pecah dan Jalan Penarak Mukim Kuah, Telaga Harbour Pantai Kok, Fresh Mart Padang Putih, Pasar Padang Matsirat, Kampung Atas dan Kampung Sungai Melaka di Mukim Padang Mat Sirat.

"Kawasan lain turut dinaiki air adalah Kampung Kilim, Teluk Yu, Jalan Kelubi dan Batu Tampoi, Mukim Ulu Melaka, Empangan Padang Saga dan Kampung Padang Gaong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahfikri berkata, kejadian itu turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan seperti Jalan Perana di Mukim Ulu Melaka, Kampung Padang Ranggut dan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di Mukik Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah dan Kampung Keda Tok Wang Rendong di Mukim Kuah.

Beliau berkata, selain itu pokok tumbang dilaporkan berlaku di Kampung Lubuk Semilang dan Kampung Yooi.

"Selain itu, dua kawasan dilaporkan berlaku tanah runtuh iaitu di Jalan Gunung Raya di Mukim Ulu Melaka.

"Bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini," katanya.

Shahfikri berkata, setakat ini keadaan cuaca di Langkawi masih hujan lebat dan angin kencang namun pemantauan masih dilakukan di kawasan yg berpotensi banjir.

"Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan dan anggota kami turut melakukan pemantauan Paras air Sungai utama," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 6:01pm
d