mutakhir

256 kes penderaan kanak-kanak di Pahang tahun ini

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sejumlah 256 kes penderaan kanak-kanak direkod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dalam tempoh hampir 10 bulan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah II JKM Pahang, Suryani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, serangan seksual menjadi kes penderaan tertinggi dengan 140 kes yang membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun.

Katanya, ia diikuti penderaan fizikal yang mencatat 76 kes dan 40 kes penderaan emosi. "Perlakuan ke atas mangsa kebanyakannya oleh ahli keluarga, selain jiran dan rakan mangsa.

"Pelbagai faktor menyebabkan berlakunya kes penderaan ini, antaranya kesempitan hidup, sikap panas baran dan tekanan," katanya pada Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di sini, semalam.

Program itu disertai lebih 100 kanak-kanak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), penjaga dan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah paling banyak merekod kes penderaan kanak-kanak adalah Kuantan (136 kes) diikuti Temerloh (35 kes), Pekan (25 kes), Maran (12), Bera (10), Jerantut (9), Raub (8), Lipis (7), Cameron Highlands (7) dan Bentong (4).

Katanya, JKM mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada kanak-kanak supaya berkongsi maklumat sekiranya menjadi mangsa penderaan dan meminta kerjasama semua pihak membantu mangsa dalam mendapat pembelaan.

"Pihak yang mengetahui berlaku kes penderaan pada kanak-kanak boleh menyalurkan maklumat kepada JKM daerah dan negeri selain terus kepada PDRM," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2022 @ 10:21am
d