mutakhir

'Melayang' RM153,928 diperdaya scammer

Oleh Norsyazwani Nasri

Sibu: Hasrat seorang peniaga wanita mengembangkan perniagaannya di bandar ini, punah selepas terpaksa menanggung kerugian RM153,928 akibat ditipu sindiket pemberi pinjaman wang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian bermula pada 26 September lalu apabila mangsa berusia 42 tahun tertarik dengan satu iklan di Facebook yang menawarkan pinjaman wang tanpa memerlukan penjamin.

Beliau berkata, mangsa mengambil keputusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM300,000 bagi mengembangkan perniagaannya kemudiannya berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa diminta membuat beberapa pembayaran termasuk insurans, cukai jualan dan perkhidmatan dan cukai perniagaan sebelum membuat 28 transaksi pembayaran ke sembilan akaun berjumlah RM153,928.

"Apabila kerap diminta membuat pembayaran dengan pelbagai alasan, mangsa berhasrat mahu membatalkan permohonan pinjaman berkenaan, namun dikehendaki membuat pembayaran RM9,000 lagi.

"Mangsa tidak membuat pembayaran terbabit kerana mula menyedari dirinya dan terjerat oleh sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kes ini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 17, 2022 @ 3:11pm
d