mutakhir

Badang negara kini KPD Simunjan

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Selepas cemerlang dalam bidang sukan, juara lima kali baling tukul besi sukan SEA negara, Deputi Superintendan Wong Tee Kue terus melakar kejayaan dalam kerjaya apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) Simunjan yang baru.

Majlis serah terima tugas jawatan berkenaan antara Asisten Superintendan Honchin Ludu kepada Wong diadakan di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Ia disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Turut diadakan serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Pekerja Polis (PERKEP) daerah Simunjan daripada Rohidah Zaidel kepada Tan Poh Choo.

Anak kelahiran Sungai Petai, Sarikei berusia 58 tahun itu berkata, sebelum dilantik sebagai KPD Simunjan, sebelum ini dia menjawat jawatan sebagai Asisten Superintendan Bahagian Pengurusan (Pelesenan) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Sarawak.

"Saya mahu membalas kepercayaan tinggi yang diberi pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan Simunjan.

"Antara fokus utama ialah untuk membanteras jenayah di kawasan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada 1986 dan sudah berkhidmat selama 36 tahun.

"Antara jawatan yang dipegang ialah sebagai Pegawai Penyiasat Trafik, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur.

"Saya juga pernah menjawat jawatan Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Inspektor Perkhidmatan /Perjawatan, IPD Sibu, Ketua Polis Balai Lanang, IPD Sibu dan Pegawai Pelesenan, IPD Sibu," katanya.

Menjelas lanjut, katanya, dalam bidang sukan, dia berkecimpung sebagai atlet olahraga dalam acara baling tukul besi negara selama 15 tahun.

"Antara pencapaian sepanjang bergelar atlet ialah memenangi pingat gangsa pada sukan SEA 1989, Sukan Negara Islam Sedunia 1989, Kuwait (pingat gangsa), Sukan SEA 1991, Filipina (pingat emas), Sukan SEA 1993, Singapura (pingat emas), sukan SEA 1995, Thailand (pingat emas), World Police and Fire Games Melbourne, Australia, Sukan SEA 1997, Indonesia (pingat perak).

"Selain itu, saya turut cemerlang di Sukan SEA 1999, Brunei (pingat emas), Sukan SEA 2001, Malaysia (pingat emas) Sukan Arafura 2001 Darwin, Austria (pingat emas), World Police and Fire Games Indianapolis, Amerika Syarikat 2001 (pingat emas), Sukan SEA 2003, Vietnam (pingat gangsa), World Police and Fire Games Barcelona, Sepanyol 2003 (pingat perak) dan Asia Master Athletics Championships Kuching 2019, Malaysia (pingat emas)," katanya.

Melalui kecemerlangan dalam bidang sukan Wong menerima anugerah Olahragawan Negeri Sarawak 1991,

Olahragawan MAKSAK Malaysia 1991, 1992, 1993, Pingat Pahlawan Polis 2014 (PPP), Anugerah Ikon Sukan Sarawak 2016, Pingat Jasa Pahlawan Negara Pahlawan 2019 dan Anugerah Tokoh Sukan PDRM 2018.

tamat

Disiarkan pada: October 18, 2022 @ 2:01pm
d