mutakhir

JAKIM tidak terima aduan berkenaan individu mengaku cicit Nabi SAW

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menerima sebarang laporan mengenai lelaki mengaku cicit nabi yang didakwa terbabit penipuan wang dan nasab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada aduan diterima mengenai dakwaan itu dan sekiranya ada siasatan lanjut akan dilakukan.

Katanya,sekiranya menerima aduan pihaknya akan melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kerana mereka yang berkuasa untuk mengambil tindakan.

"Sesetengah pihak menunding jari mengatakan JAKIM tidak mengambil tindakan namun sebenarnyaperkara ini di luar bidang kuasa kerana tindakan tertakluk di bawah bidang kuasa negeri," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi dan Majlis Apresiasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan dakwaan kononnya Sayyid Muhammad Amin Hamid Alidrisi Alhasani adalah cicit kepada Nabi Muhammad SAW dan hadir ke negara ini terbabit dengan penipuan wang dan nasab di negara asalnya.

Ketika berada di Malaysia beliau sempat mengikuti beberapa siri jelajah di beberapa negeri sebelum pulang ke Maghribi beberapa hari lalu.

Individu berkenaan turut dihalang untuk mengikuti siri jelajah di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu, Melaka dan Kelantan disebabkan beberapa isu.

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 1:08pm
d