mutakhir

Bajet 2023 perlu bantu 73 peratus pencarum 'miskin' KWSP

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bajet 2023 perlu disemak dan menangani isu-isu utama yang `belum diterokai' seperti dana pencen, pendapatan asas sejagat, kadar pengangguran dan pinjaman pendidikan tinggi.

Pakar ekonomi yang juga Dekan Institut Pengajian Lepasan Ijazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Geoffrey Williams berkata, menangani isu ini adalah penting bagi memastikan kemampanan negara pada masa hadapan.

Memetik kenyataan oleh Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein, beliau berkata, 96 peratus rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara dengan simpanan KWSP dan 73 peratus daripada pencarum aktifnya tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk bersara mengatasi garis kemiskinan.

"Memang benar kadar pengangguran di Malaysia sangat rendah. Orang ramai tidak mampu untuk tidak mempunyai pekerjaan kerana ketiadaan jaringan keselamatan sosial," katanya pada Forum Business Foresight 2022 anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti di sini, tadi.

Williams adalah salah seorang speaker untuk sesi bertajuk `Malaysia and Global Economic Outlook - Driving Recovery and Sustainable Growth amidst Turbulence' di forum berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah pada Ogos lalu memberitahu Dewan Negara bahawa secara keseluruhan, RM145 bilion dikeluarkan oleh pencarum KWSP di bawah empat kemudahan pengeluaran iaitu i-Sinar, i-Lestari, i-Citra dan kemudahan pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Williams seterusnya berkata, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada pembaharuan skim Bantuan Keluarga Malaysia dan memasukkan program pendapatan asas sejagat, dengan bayaran bulanan tetap sebanyak RM1,000 untuk kumpulan berpendapatan rendah melalui mekanisme pemindahan tunai.

Katanya, orang ramai sepatutnya mempunyai `akses penuh' kepada bantuan kewangan, dengan dana disalurkan terus ke akaun bank penerima yang disasarkan dan bukannya dikreditkan ke dalam akaun e-dompet.

"Setiap kali mereka membelanjakan wang yang dikreditkan dalam e-dompet, mereka perlu membayar peratusan tertentu yuran (kepada syarikat e-dompet).

"Masukkan wang ke dalam akaun bank mereka dan biarkan mereka mengeluarkannya secara tunai, dengan kad debit atau melalui e-dompet mengikut pilihan mereka, tanpa bayaran kepada penyedia e-dompet," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 2:21pm
d