mutakhir

PRU-15: Mas Ermieyati calon PN Parlimen Masjid Tanah

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan calon pertama PN, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Parlimen Masjid Tanah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi berkenaan dipilih berdasarkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang, selain mampu memberikan perkhidmatan berintegriti dan memenuhi permintaan anggota komuniti.

"Malam ini saya melancarkan jentera pilihan raya PN Melaka dan saya tersebut pula calon Parlimen Masjid Tanah tetapi tidak mengapalah sebab saya kebetulan berada di sini," katanya ketika ditemui selepas melancakan jentera berkenaan pada Jelajah Prihatin Parlimen Masjid Tanah di Kampung Paya Lebar, di sini malam ini.

Selain Mas Ermieyati, turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakop; Timbalan Pengerusi Perhubungan PN negeri, Zulkifli Ismail dan Pengerusi GERAKAN Melaka,Datuk Seri MichaelGao Peng Lau.

Muhyiddin berkata, calon PN yang lain akan diumumkan Pengerusi Perhubungan PN negeri masing-masing beberapa hari sebelum penamaan calon pada 5 November ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana memberikan kepercayaan kepada beliau.

"InsyaAllah saya dan jentera pilihan raya akan berusaha kuat untuk memastikan Parlimen Masjid Tanah kekal milik PN," katanya.

Pada PRU-14 Mas Ernieyati menang di kerusi berkenaan dengan majoriti undi lebih 8,000 ketika mewakili UMNO/Barisan Nasional sebelum keluar UMNO pada hujung 2018.

Disiarkan pada: October 23, 2022 @ 10:56am
d