mutakhir

Anak ayam berpenyakit, wabak punca kekurangan bekalan telur ayam

Oleh Azhar Shahrulnizam

Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan telur ayam berpunca daripada anak ayam yang terkena penyakit dan juga wabak.

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Johor Lau Ka Leng, berkata, bekalan telur ayam mengambil masa yang lebih lama daripada ayam untuk kembali stabil di pasaran.

"Dalam jangka masa beberapa bulan yang lalu, bilangan anak ayam yang mati disebabkan wabak dan juga penyakit meningkat.

"Seekor anak ayam boleh mula bertelur apabila mencecah usia 20 minggu, apabila banyak anak ayam yang mati, bilangan telur yang dihasilkan juga berkurang," katanya.

Sementara itu, Lau berkata, kekurangan bekalan telur berpunca daripada jumlah subsidi yang tidak dapat menampung perbelanjaan bagi menjaga anak ayam.

"Walaupun subsidi bagi satu biji telur ayam dinaikkan kepada 8 sen, tetapi jumlah ini masih lagi tidak dapat menampung kos bagi penjagaan anak ayam seperti jagung dan dedak.

"Penternak kecil dan sederhana memakan kos yang lebih banyak bagi menternak ayam berbanding penternak yang besar. Kos bagi membela 20,000 anak ayam berbeza dengan kos membela 100,000 anak ayam.

"Lebih banyak ayam yang diternak, kos yang diperlukan menjadi lebih murah kerana mereka dapat membeli makanan anak ayam dengan harga yang lebih murah," katanya.

Lau berkata, orang ramai terpaksa bersabar sehingga anak ayam berusia 20 minggu untuk mendapatkan bekalan telur ayam.

"Buat masa sekarang jumlah anak ayam yang boleh dibeli juga terhad. Jika kami memesan 50,000 anak ayam, kami akan menerima anggaran sebanyak 35,000 ekor sahaja," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2022 @ 2:59pm
d