mutakhir

Kempen tanam 100 juta pokok [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) menyediakan platform menyumbang dana menerusi Touch 'n Go eWallet di bawah kempen Mission GreenPossible yang mensasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Kempen Mission GreenPossible menyokong pelan tindakan negara di bawah Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula 2021 hingga 2025 yang bertujuan memastikan 54 peratus daripada kawasan di Malaysia dihijaukan.

Sejak dilancarkan pada 5 Januari tahun lalu, sebanyak 46 juta pokok membabitkan lebih 1,300 spesies sudah ditanam di seluruh negara dan kini hanya berbaki 54 juta pokok lagi bagi mencapai misi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, kempen Mission GreenPossible itu dijalankan dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia bagi memudahkan orang ramai mengambil bahagian dengan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar secara maya.

Katanya, kerjasama itu selari dengan program kelestarian TNG dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan menyokong misi Malaysia mencapai negara neutral karbon atau pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.

"Kempen ini bukan saja memberi manfaat kepada matlamat kemampanan Kumpulan TNG tetapi juga sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dalam memastikan alam sekitar lebih bersih dan hijau untuk generasi akan datang.

"Kami menggalakkan semua pengguna TNG mengambil bahagian dalam menyokong usaha ini dengan menyumbang secara maya menerusi platform Touch 'n Go eWallet," katanya pada Majlis Pelancaran Mission GreenPossible: 100 juta pokok menjelang 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Amin Abdullah.

Sementara itu, Amin berkata, kerjasama menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi memastikan kejayaan misi Malaysia menanam 100 juta pokok menjelang tiga tahun lagi tercapai.

"Semua pihak termasuk syarikat swasta harus tampil ke hadapan untuk sama-sama menjayakan program ini kerana memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

"Menerusi kempen ini, setiap sumbangan yang disalurkan orang ramai akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai misi penanaman 100 juta pokok ini.

"Seterusnya, usaha ini akan memastikan objektif Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 akan dapat direalisasikan," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 2:40pm
d