mutakhir

Pusing KL naik Mercedes

Oleh Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Raikan 200 kanak-kanak disleksia dengan layanan `5 bintang' dengan dibawa menaiki 38 kereta mewah Mercedes Benz.

Itu antara pengisian program `Dyslexia Awareness Drive' melalui kerjasama Kelab Mercedes Benz W219 CLS Malaysia dan Mercedez Benz W204 Malaysia di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh itu diadakan bersempena Bulan Kesedaran Dyslexia Sedunia.

Pengasas Persatuan Disleksia Malaysia, Jaldeen Mohd Ali berkata, objektif program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung masalah disleksia.

Menurutnya, masyarakat masih tidak dapat membezakan antara kondisi disleksia dan autisme.

"Sekitar 60 peratus di kalangan penduduk Malaysia masih tidak memahami berhubung permasalahan disleksia. Mereka ini adalah kalangan kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan untuk membaca huruf, perkataan dan nombor secara terbalik atau menghadapi masalah pertuturan.

"Menerus program ini, kami dapat membuka minda ibu bapa. Mereka (ibu bapa) perlu tahu masalah disleksia ini ada jalan keluarnya dan bukanlah pengakhiran bagi anak-anak," katanya.

Menurutnya, menerusi program itu, seramai 200 orang anak disleksia dibawa menaiki 38 kereta Mercedes Benz0 dari Dataran Merdeka hingga ke Titiwangsa di sini.

"Selain itu program ini turut membabitkan rancangan bual bicara, persembahan fesyen, karaoke, reka cipta, mewarna dan permainan yang memfokuskan kepada koordinasi anak disleksia," katanya.

Turut hadir pada program itu adalah pakar kanak-kanak, Dr Harminder Kaur, Penasihat Dyslexia Genius, Sariah Amirin dan pelajar Dyslexia Genius Youth Program, Melvin Tham.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 7:42pm
d