mutakhir

30 kru terperangkap diselamatkan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Gopeng: Seramai 30 kru penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung, di sini selamat dan berjaya di bawa keluar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kru yang terbabit seramai 80 orang dan yang terperangkap seramai 30 orang warga tempatan dan warganegara Singapura.

"Pihak bomba dimaklumkan akan kejadian itu danbersama polis menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian. Kesemua kru yang terperangkap berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan tersebut.

"Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, berkenaan insiden pihaknya menerima maklumat pada jam 4.10 petang memaklumkan ada orang awam terperangkap di bahagian belakang Gua Tempurung kerana paras air naik.

"Saya bersama sepasukan anggota 'task force' dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung Gopeng Perak.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang berterusan sejak jam 4 petang. Kesemua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua. Kedalaman air lebih kurang 1.5 meter. Kesemua mangsa yang terbabit adalah krew penggambaran filem berjudul 'Bursting Point' dari syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang sedang menjalankan kerja-kerja perfileman," katanya

Terdahulu media melaporkan, seramai 30 individu dipercayai terperangkap di kawasan sekitar Gua Tempurung berhampiran Sahom di sini selepas laluan keluar gua itu dinaiki air berikutan hujan lebat.

Difahamkan, mereka yang terperangkap adalah kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan terbabit.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 8:43pm
d