mutakhir

Jemaah umrah diingatkan bersedia kenaikan harga pakej

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (Saftta) menerima banyak maklum balas dari ahlinya berkaitan kenaikan harga pakej umrah yang bakal berlaku bermula November ini.

Presiden Saftta Dr Fathir Badri Alhadad berkata, ahli persatuan itu ketika ini menghadapi masalah yang sangat kritikal disebabkan kekurangan 'tempat duduk' penerbangan.

Beliau berkata, masalah bermula sejak akhir September 2022 lalu, namun lebih parah menjelang Disember ini apabila rata-rata bakal jemaah memilih Disember disebabkan cuti sekolah dan cuaca yang lebih sejuk di Arab Saudi.

"Ketika ini dianggarkan industri umrah kekurangan 30,000 tempat duduk untuk Disember sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, Saftta memohon kepada kementerian yang berkenaan untuk segera menggerakkan agensi masing-masing vagi mengarahkan pihak penerbangan untuk menambah bilangan pesawat dan memudahkan prosedur dengan membenarkan penerbangan carter untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, langkah ini sangat penting agar tidak berlaku kekecohan apabila tibanya Disember nanti.

"Seterusnya kami juga ingin memaklumkan kepada bakal jemaah untuk bersedia dengan kenaikan harga pakej masing-masing.

"Ini disebabkan kadar tukaran Ringgit pada ketika ini menurun berbanding Saudi Riyal. Sebagai contoh, ketika kami membuat harga pakej kadar tukaran adalah dalam sekitar (kadar) 1.10 hingga 1.15, tetapi kini harga tukaran adalah sekitar 1.27 hingga 1.30," katanya.

Menurutnya, kenaikan kadar tukaran wang bukan sahaja membabitkan penambahan harga tiket penerbangan, malah harga penginapan dan kenderaan di Saudi juga meningkat pada ketika ini.

Ini katanya, mengakibatkan kenaikan harga pakej boleh mencecah sehingga RM1,000 mengikut pakej yang ditawarkan oleh pengendali umrah masing-masing.

"Kami menganggarkan ketidaktentuan ini akan berlarutan sehingga musim Ramadan nanti.

"Justeru, kami menyarankan semua jemaah untuk bersedia dengan kenaikan harga pakej yang diluar kawalan syarikat pengendali umrah," katanya.

Untuk rekod , Saftta dianggotai sebanyak 580 syarikat yang terdiri agensi pelancongan, perhotelan, inap desa, taman tema dan syarikat berasaskan pelancongan.

Disiarkan pada: October 27, 2022 @ 11:26am
d