mutakhir

Jawatan Zuraida dan 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung

Oleh BERNAMA

Kuching: Datuk Larry Sng Wei Shien yang mendakwa masih Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah, menggantung Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu.

Dalam kenyataan di akaun Facebooknya malam tadi, Sng turut menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM.

Beliau berkata, penggantungan itu berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Dua belas individu itu ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na'im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

"Saya menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menimbulkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan orang awam keseluruhannya.

"Oleh itu jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya," menurut hantaran itu.

Sng berkata, surat penggantungan itu telah dihantar kepada mereka secara individu.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan esok di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

"Saya akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membolehkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari seperti yang diperuntukkan. Mereka yang digantung tidak akan dijemput menghadiri mesyuarat ini," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2022 @ 10:21am
d