mutakhir

Serlah kemahiran tinggi warga TVET [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menganjurkan pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan, WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) dan JuniorSkills Malaysia (JSM) Peringkat Akhir 2022.

Penganjuran itu disifatkan bertepatan dengan Teras Ke Enam dalam Kerangka Strategi iaitu peningkatan kesedaran terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) (TVET) dan kebolehcapaian TVET secara holistik kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, JPK KSM, Ts. Dr. Mohamad Sulaiman berkata, pertandingan bertujuan menyerlahkan potensi diri belia, pengajar dan pelajar dalam mencapai kecemerlangan tertinggi seterusnya mewakili negara di peringkat antarabangsa seperti Asean Skills Competition (ASC), World Skills Asia (WSA) dan World Skills Competition (WSC).

"WSMB adalah pertandingan kemahiran yang dibuka kepada semua belia berumur tidak melebihi 21 tahun kecuali bidang Mekatronik tidak melebihi 23 tahun.

"WSMP pula terbuka kepada tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman mengajar atau pengalaman kerja dalam bidang yang dipertandingkan tidak kurang dari empat tahun.

"Dalam membudayakan bidang kemahiran di peringkat sekolah, JPK turut mengambil inisiatif melalui penganjuran JSM yang memberi peluang kepada semua pelajar berusia 16 tahun dan ke bawah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pertandingan Kemahiran WSMB/ WSMP/JSM Peringkat Akhir 2022 dan Flag Off Promosi Out of Home (OOH) melalui Rapid Bas di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 di sini.

Menurutnya pada tahun ini, sebanyak 35 bidang kemahiran yang dipertandingkan di WSMB, masing-masing sembilan bidang kemahiran di WSMP dan JSM membabitkan 12 lokasi terpilih di seluruh negara.

"Pertandingan peringkat akhir bagi kategori WSMB, WSMP dan JSM dijalankan bermula 4 Oktober hingga 31 Oktober membabitkan 370 peserta terdiri daripada 248 peserta WSMB, 57 peserta WSMP dan 65 peserta JSM layak ke peringkat akhir.

"Kejayaan dua peserta Malaysia iaitu Muhammad Hafizuddin Norizan dan Aimanul Hakim Abdullah yang mendapat tempat pertama dalam Graphic Design Technology di WorldSkills Asia Online Challenge 2022 baru-baru ini membuktikan signifikannya kualiti pembelajaran TVET di negara ini.

"Manakala pertandingan WSC 2022 Special Edition yang bermula pada 7 September 2022 membabitkan tujuh peserta Malaysia yang bertanding setaraf dengan peserta dari luar negara.

"Kegigihan, kecekalan dan semangat bersaing dalam kalangan peserta perlu diberi pujian. Saya berharap di masa hadapan, Malaysia mampu melahirkan juara dalam WSC dengan perancangan dan strategi yang bersesuaian," katanya.

Mengulas lanjut katanya, melalui pertandingan ini kualiti latihan boleh dipertingkatkan dengan menjadikan deskripsi teknikal WSC sebagai panduan pembangunan silibus latihan kerana modul pertandingan mengikut teknologi terkini dan keperluan industri di peringkat global.

"Melalui program pertandingan seperti pertandingan kemahiran, pameran, persidangan dan forum, ia dapat mewujudkan jaringan kerjasama dengan negara lain khususnya dalam pembangunan TVET negara.

"Hubungan ini penting dalam memacu pembangunan kemahiran di Malaysia ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya.

Katanya, penyertaan negara ke peringkat kebangsaan juga bertujuan mengiktiraf tahap kemahiran belia dan pelatih Malaysia dalam bidang TVET selain penanda aras kemahiran mereka di peringkat antarabangsa, sekaligus memartabatkan pendidikan TVET Malaysia.

"Salah satu matlamat utama pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa adalah memberikan pendedahan mengenai kepentingan pendidikan profesional sebagai salah satu kaedah kepada transformasi sosio-ekonomi sesebuah negara.

"Pertandingan ini juga dapat melahirkan pemimpin kepada industri negara, kerajaan dan pendidikan dengan adanya peluang bertukar maklumat dan amalan terbaik mengenai industri dan pendidikan profesional," katanya.

Selain itu katanya, matlamat pertandingan juga bertujuan mempromosikan kemahiran teknikal dan nilai kemahiran vokasional dan teknikal dalam kalangan belia dan pekerja mahir.

"lni dapat memupuk kerjasama teknikal dalam pendidikan vokasional, teknikal dan latihan di antara negara negara peserta selain menggalakkan kerjasama yang erat antara kerajaan, industri, majikan dan organisasi pekerja serta Institut Latihan Vokasional," katanya.

Menurutnya, penganjuran itu juga jelas membuktikan bahawa pencapaian dan kualiti pendidikan TVET di negara ini berada pada landasannya.

Pada majlis sama juga beliau turut menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Flag Off Promosi OOH membabitkan 20 Rapid Bas.

"Inisiatif ini meliputi Rapid Lembah Klang, Rapid Penang dan Rapid Kuantan. Rapid Bas yang dibalut dengan media pengiklanan ini akan mempromosikan JPK khususnya Pertandingan Kemahiran WSMB/WSMP/
JSM, AppSPIKE, Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), CIAST, Jom Pilih Kemahiran dan SLDN. Promosi Persijilan Kemahiran Malaysia melalui pengangkutan awam ini menjadi platform terbaik jabatan untuk mendekati industri dan masyarakat selain dapat memantapkan jenama TVET sebagai pilihan utama dengan mempromosikan TVET melalui pengiklanan OOH. Usaha ini juga secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum berkenaan kepentingan latihan kemahiran di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2022 @ 11:16am
d