mutakhir

Laluan Kuala Terengganu ByPass dibuka [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terenggganu: Projek Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu ByPass) yang membabitkan kos RM384.3 juta dibuka secara rasmi hari ini sekali gus mampu memberi manfaat kepada 70,000 pengguna.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek membabitkan laluan 5.8 kilometer itu diluluskan Kerajaan Persekutuan pada

Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Beliau berkata, ia membabitkan kos siling sebanyak RM250 juta namun kos projek meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan tanah.

"Kalau mengikut tempohnya, biasanya projek jalan sepanjang hampir enam KM ini tidak lama tetapi disebabkan cabaran untuk melaksanakan termasuk pengalihan utiliti, pengambilan tanah, Covid-19 dan sebagainya ia mengambil masa yang lama.

"Alhamdullillah, projek ini dapat disiapkan hasil kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri walaupun pelbagai cabaran termasuk ada tambahan masa dan kos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pembukaan Jalan Pintas Kuala Terengganu dan PenyampaianSurat Setuju Terima(SST) Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Projek Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Fadillah bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Fadillah berkata, pembukaan jajaran itu juga sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di Bandaraya Kuala Terengganu terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah.

Katanya, ia juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana.

"Projek ini bermula di persimpangan Tok Molor dan berakhir melintasi Simpang Tok Ku (dahulunya dikenali sebagai Bulatan Sultan Mansor) dan bersambung di Laluan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.

"Keseluruhan laluan yang direka bentukadalah sepanjang 5.8 KM secara empat lorong dua hala menggunakan piawaian U5 serta membabitkan persimpangan bertingkat di Simpang Tok Molor dan Simpang Tok Ku," katanya.

Sebelum ini, Fadilah mengumumkan jalan pintasan Kuala Terengganu itu akan dibuka pada April lalu sekali gus akan mengurangkan kesesakanyang biasanya berlaku pada Hari Raya Aidilfitri.

Pembukaan lebih awal berbanding jadual asal itu susulan jaminan yang diberikan kontraktor terbabit namun ia tidak sempat digunakan berikutan kerja-kerja kemasan yang belum siap.

Disiarkan pada: November 1, 2022 @ 2:40pm
d