mutakhir

Pembida tender LCA dakwa proses tender tidak dipatuhi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Syarikat antarabangsa yang membida tender pembekalan perolehan pesawat tempur ringan (LCA) membuat laporan polis semalam mendakwa proses tender itu tidak dipatuhi.

Wakil tempatan syarikat berkenaan, Brigidier Jeneral (B) Datuk Lau Kong Cheng berkata, syarikatnya membida dua tender terbuka antarabangsa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Syarikat membida tender Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan LCA. Bagaimanapun selama kedua-dua tender dijalankan saya dapati proses berkenaan tidak mematuhi sepenuhnya.

"Terdapat salah guna kuasa dalam bidaan tender ini, jika ia berterusan, ia akan menyebabkan negara memperoleh sistem pertahanan yang kurang keupayaan," katanya kepada Harian Metro.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Sungai Buloh dan Lau menuntut satu siasatan terperinci dilakukan.

Khamis lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, penilaian fizikal dan rundingan harga bagi perolehan LCA selesai dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

Laporan penuh berhubung perolehan aset itu sudah diterima Kementerian Pertahanan.

"Rundingan harga dengan petender yang disyorkan sendiri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah selesai, tunggu apa diputuskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2022 @ 12:52pm
d