mutakhir

'Kebas' 100km pun kantoi juga

Oleh Ahmad Hasbi

Jempol: Curi kereta di daerah ini sebelum membawa lari kenderaan itu sejauh kira-kira 100 kilometer ke Mentakab, Pahang.

Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya mengesan kenderaan itu dan menahan suspek dalam masa kurang 12 jam, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek berusia 20 tahun itu dikatakan melarikan sebuah kereta Proton Wira milik seorang lelaki dari sebuah rumah di Kampung Baru Ayer Hitam, Bandar Seri Jempol, di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian disedari mangsa berusia 31 tahun yang terdengar enjin keretanya dihidupkan ketika bangun dari tidur.

"Mangsa kemudian bergegas keluar untuk melihat keadaan sebelum ternampak kereta Proton Wira berwarna hijau miliknya dilarikan suspek tidak dikenali. Mangsa cuba mengejarnya namun tidak berjaya.

"Hasil siasatan mendapati kenderaan itu tiada hutang dengan pihak bank memandangkan ia dibeli secara tunai pada 2017," katanya, semalam.

Hoo berkata, tiada saksi lain yang melihat kereta itu dicuri dan tiada liputan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, kes itu dimaklumkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jempol untuk hebahan.

"Dalam masa kurang 12 jam, suspek berjaya ditangkap bersama kenderaan dicuri oleh anggota balai polis Mentakab, Pahang di daerah itu, pagi semalam. Suspek kemudian dibawa ke IPD Jempol untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 3, 2022 @ 7:01am
d