mutakhir

Surat aku janji tular: Setiausaha politik Shamsul Anuar buat laporan polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Azizan Md Zain membuat laporan polis berhubung pemalsuan surat aku janji calon Umno Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, satu surat didakwa surat 'Aku Janji' parti itu menyatakan calon bertanding wajib menyokong Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri tular di media sosial sejak 30 Oktober lalu.

Azizan berkata, surat berkenaan kononnya ditandatangani Shamsul Anuar pada 30 Oktober lalu antara lain berikrar akan mencalonkan dan menyokong Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri adalah fitnah serta berunsur jahat.

"Saya berjumpa dengan Datuk Seri (Shamsul Anuar) selepas itu di pejabat dan bertanyakan kepada beliau kesahihan surat itu dan dimaklumkan bahawa beliau tidak pernah menandatanganinya. Ia adalah palsu dan tidak benar.

"Saya percaya surat berkenaan yang sedang tular itu adalah satu tohmahan serta fitnah jahat untuk menjejaskan nama baik Datuk Seri (Shamsul Anuar), Ahmad Zahid dan parti BN (Barisan Nasional)," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membuat laporan bagi membolehkan polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.

"Saya mohon polis siasat pihak yang bertanggungjawab mencipta dan menyebarkan surat aku janji palsu itu dan membawa mereka ke muka keadilan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Umno menafikan kewujudan aku janji ikrar calon parti untuk mencalonkan dan menyokong Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, isi kandungan aku janji yang ditularkan itu adalah fitnah jijik kepada Umno dan BN.

Malah, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin juga menafikan kandungan surat aku janji itu dan memaklumkan surat aku janji ditandatanganinya ada kaitan dengan lompat parti dan kesetiaan kepada parti dengan kepala surat BN.

Beliau turut menegaskan bahawa calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pendirian BN seperti diumumkan Ahmad Zahid sendiri.

Disiarkan pada: November 3, 2022 @ 4:12pm
d