mutakhir

Calon PRU-15 di Pulau Pinang dilarang sampaikan khutbah Jumaat

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Mana-mana calon beragama Islam yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat di semua masjid negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata ia bagi mengelakkan institusi masjid dicemari dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

"Ini kerana kita bimbang ada dalam kalangan mereka (khatib) yang 'naik sheikh' kerana terpengaruh dengan keadaan yang berlaku dibawa di luar masjid hingga terbawa-bawa ke atas mimbar.

"Justeru, kita tidak menggalakkan individu dari luar atau mana-mana parti politik untuk menyampaikan khutbah terutamanya dalam musim kempen PRU-15 ini," katanya.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata demikian bagi mengulas permohonan dari parti politik kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) untuk membenarkan calon yang bertanding pada PRU-15 menyampaikan khutbah Jumaat di negeri ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang di Masjid Daerah Seberang Perai Utara, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, khutbah Jumaat perlu disampaikan oleh khatib yang dilantik dengan menggunakan teks yang disediakan JHEAINPP.

"Dalam pada itu, pentadbir semua masjid juga dinasihatkan supaya memastikan aktiviti kuliah serta ceramah di masjid mesti dielakkan sebarang unsur politik yang boleh mencemar dan mencetuskan suasana tidak harmoni.

"Kita turut mengingatkan kepada semua masjid di negeri ini supaya mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

"Dalam enakmen kita serta kaedah-kaedah dan peraturan, ada kesalahan berkenaan, jadi ketidakpatuhan dalam penyampaian khutbah, ceramah serta kuliah ini boleh dikenakan denda yang tertentu bersabit dengan kesalahan berikut, "katanya.

Tegasnya, mana-mana parti politik juga diingatkan supaya tidak memasang bendera, kain rentang dan poster di pagar atau dalam kawasan masjid kerana ia adalah satu kesalahan.

Disiarkan pada: November 4, 2022 @ 11:15am
d