mutakhir

Jururawat maut, kereta hilang kawalan langgar lori

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Perjalanan seorang jururawat ke tempat kerja bertukar tragedi apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat persimpangan lampu isyarat Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, wanita berusia 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan sebuah lori jenis Isuzu.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa yang juga jururawat sebuah hospital swasta dalam perjalanan dari rumahnya di Sabak Bernam menghala ke Shah Alam.

"Apabila melalui jalan selekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, punca kematian mangsa masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.

Disiarkan pada: November 4, 2022 @ 12:12pm
d