mutakhir

PRU-15: Calon Parlimen Ketereh dapat sokongan padu Annuar Musa [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: "Saya rasa kuat dan bersemangat kerana di belakang saya ada figura hebat, Tan Sri Annuar Musa," kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin.

Marzuani Ardila berkata, Annuar yang juga penyandang Parlimen Ketereh sentiasa memberi sokongan dan berjanji tidak akan meninggalkannya.

"Alhamdulillah, urusan hari ini berjalan lancar dan saya mengharapkan sokongan warga Ketereh dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen ini.

"Insya-Allah, saya ada strategi sendiri yang sudah diatur untuk digunakan sepanjang tempoh berkempen," katanya.

Sementara itu, calon PAS, Datuk Khlir Mohd Nor memaklumkan akan menggunakan kaedah berkempen dari rumah ke rumah dalam usaha meraih undi warga Ketereh.

"Saya lebih suka pendekatan dalam kelompok kecil, berbanding berhimpun beramai-ramai kerana dianggap lebih berkesan," katanya.

Terdahulu, Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon yang ditampilkan adalah Marzuani Ardila daripada BN, Khlir (PAS), Hanif Ibrahim (Putra) dan Rahimi L Muhamud daripada Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, lebih 2,000 penyokong semua parti hadir memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Disiarkan pada: November 5, 2022 @ 12:05pm
d