mutakhir

Kadar menganggur menurun

Oleh Mohammad Asyraf Khalib

KUALA SELANGOR: Kerajaan terus memberi tumpuan menurunkan kadar pengangguran dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam usaha memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Memetik kejayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai contoh, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, agensi itu berjaya menurunkan kadar pengangguran yang naik semasa krisis Covid-19.

"Perkeso bukan sahaja membantu pekerja, tetapi juga peniaga dan pengusaha dengan program subsidi upah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di One Plaza di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Terdahulu, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia bagi kawasan Kuala Selangor menyaksikan 5,643 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 26 majikan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, karnival itu adalah usaha kerajaan memastikan pencari kerja terutamanya golongan belia mendapat peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor.

Menurutnya, kerajaan juga membelanjakan kira-kira RM21 bilion untuk 358,158 majikan melalui Program Subsidi Upah sejak diperkenalkan 1 April lalu.

"Program ini menyelamatkan lebih 2.96 juta pekerjaan di seluruh negara.

"Ini adalah hasil pendekatan kerajaan yang sentiasa mendengar dan menghayati keluh-kesah pekerja dan majikan serta terus selesaikan melalui pelbagai langkah yang padu dan dilaksanakan dengan rapi," katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan kesejahteraan rakyat khususnya golongan belia, kerajaan juga menyokong penuh program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs. 

"Portal pencarian pekerjaan ini juga berfungsi sebagai perancang kerjaya. Sehingga 14 Oktober lalu, MYFutureJobs berjaya membantu 652,799 pencari kerja mendapatkan pekerjaan di seluruh negara.

"Daripada jumlah terbabit, 454,510 adalah penerima insentif Program Penggaji- an Penjana Kerjaya dan Program Jamin Kerja – Insentif Penggajian," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Perkeso dengan kerjasama beberapa kementerian turut memperkenalkan Pusat Satelit MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang pekerjaan, khususnya komuniti luar bandar. 

"Sehingga kini, terdapat 150 Pusat Satelit di pelbagai lokasi seluruh negara dan 12 daripadanya adalah di Selangor - Paya Jaras, Pulau Meranti, Bukti Kapar, Sg Gu- mut, Bukit Cherakah, Kampung Kundang, Taman Saujana Utama, Bangi, Kajang (iaitu di Jabatan Penjara Malaysia) dan juga di Universiti Malaya (UM).

"Melalui Bajet 2023, kerajaan bercadang membangunkan 13 lagi Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara bagi menambah kepada 150 pusat satelit sedia ada. 

"Pusat satelit ini adalah penting untuk merapatkan jurang antara kerajaan Persekutuan dan penduduk di bandar kecil dan di peringkat akar umbi.

"Selain itu, Perkeso juga diberi mandat untuk bekerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk mereka tubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti bagi rakyat dan belia mencari pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Sumber Manusia dan PSMB menubuhkan rupakan sebuah platform sehenti yang menyediakan maklumat berkaitan semua program latihan dan pembangunan kemahiran melalui pelbagai kementerian dan agensi.

"Ia juga merangkumi platform pembelajaran dalam talian iaitu e-LATiH oleh PSMB yang menawarkan kursus dalam talian secara percuma kepada rakyat dan belia Malaysia oleh penyedia latihan bertaraf antarabangsa dan tempatan yang bereputasi tinggi," katanya.

Jelas beliau, selain dari pe- laksanaan kadar baharu gaji minimum iaitu RM1,500 bermula 1 Mei lalu, kerajaan melalui KSM dan Perkeso juga mengambil pendekatan holistik dengan menyokong pelbagai jenis pekerjaan dan sektor termasuk mereka yang terbabit dengan pekerjaan sektor ekonomi gig.

"Bermula tahun 2021 sehingga kini, seramai 58,456 individu pekerja sendiri telah dibantu melalui penyediaan Insentif KerjayaGig dan SIP Gig.

"Majikan juga diberi insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang digajikan melalui Inisiatif Jamin Kerja.

"Jika anda memperoleh pekerjaan di negeri lain iaitu luar daripada negeri yang diduduki sekarang, kerajaan bercadang menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off yang dibayar terus kepada pekerja," katanya. 

Ambil peluang cari kerja yang bersesuaian 

Perjalanan sejauh 106 kilometer tidak menghalang seorang remaja lelaki hadir ke Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Kuala Selangor di One Plaza di sini, baru-baru ini.

Muhammad Ahnaf Zakaria, 19, berkata, dia bertolak dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Banting seawal jam 8 pagi bersama rakannya untuk mencuba mencari pekerjaan yang sesuai.

Pelajar semester tiga Sijil Komputer Rangkaian itu berkata, dia sebelum ini mencari pekerjaan dengan kaedah bersemuka namun tidak berjaya.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berniaga makanan di tepi jalan selama tiga bulan. Selepas itu, saya mendapat peluang menyambung pelajaran (ke ILP Kuala Langat).

"Untuk itu, saya hadir ke Karnival Kerjaya Jamin Kerja ini berhasrat mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan saya," ka- tanya ditemui.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan karnival ber- kenaan di One Plaza, di sini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Bagi Ainaa Zahirah Zafli, 26, yang baru menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam awal tahun lalu, dia hadir ke karnival itu selepas dimaklumkan kakaknya yang kebetulan tinggal di Kuala Selangor.

"Besar harapan saya untuk mendapat pekerjaan tetap walaupun mengetahui bidang ini mempunyai persaingan yang sengit.

"Walaupun datang dari jauh, saya tetap mencuba nasib kerana di karnival ini, pencari kerja dapat bertemu terus dengan majikan," katanya yang tinggal di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Ainaa berkata, dia kini bekerja secara freelance dan meminati reka grafik khususnya textile tudung.

Sementara itu, Muhammad Hadi Hamzah Sobri, 27, dia melakukan pelbagai usaha untuk mencari kerja yang sesuai termasuk melalui platform secara dalam talian namun tidak berhasil.

Dia yang tinggal di Taman Melawati, Kuala Lumpur kini bekerja sebagai penjaga kanak-kanak di sebuah nurseri sejak dua bulan lalu.

"Saya baru menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Malaysia Perlis (Unimap). Untuk itu, saya mencari kerja yang sesuai dengan kursus yang diambil.

"Alhamdulillah, tadi saya baru habis temuduga di karnival dan berharap serta berdoa akan mendapat pekerjaan kelak," katanya. 

Disiarkan pada: November 6, 2022 @ 12:57pm
d