mutakhir

PRU-15: Pengeluaran KWSP jadi gula-gula pilihan raya - Syed Saddiq

Oleh Essa Abu Yamin

Muar: Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijadikan janji atau manifesto parti politik bagi meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah 'gula-gula' pilihan raya semata-mata.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihak yang menggunakan duit simpanan KWSP sememangnya tidak berfikir untuk jangka masa panjang.

"Mereka hanya akan berjaya melepaskan diri daripada tangani dan selesaikan isu pokok dan gunakan jalan pintas dengan membenarkan pengeluaran KWSP tanpa sebarang perancangan yang konklusif untuk bantu rakyat.

"Memang 'sedap' dalam jangka masa pendek, tetapi takkan tidak terfikir akan impak jangka masa yang panjang kepada rakyat?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq yang juga calon MUDA di Parlimen Muar berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya penggunaan duit KWSP sebagai janji pilihan raya dan perkara berkenaan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Peratusan penyimpanan KWSP adalah pada kadar yang sangat membimbangkan ketika ini.

"Sebelum ini pihak KWSP mendedahkan sebanyak 52 peratus ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM 10,000 dan 27 peratus daripada mereka pula hanya mempunyai RM 1,000.

"Data berkenaan adalah selepas pihak kerajaan membenarkan pengeluaran 'one-off' daripada akaun KWSP sejak pandemik lalu melalui pengeluaran i-Lestari, i-Sinar hinggalah ke i-Citra," katanya.

Tambah beliau, pihak KWSP mengakui untuk bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rakyat memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM900,000 ke RM1 juta.

"Semakin banyak pengeluaran yang dibuat, semakin bertambah tahun yang diperlukan untuk mereka ini bekerja bagi untuk duit persaraan mereka.

"Sebab itu saya konsisten daripada dahulu bahawa pengeluaran KWSP berkenaan bukan bantuan daripada kerajaan. .Duit KWSP ini adalah duit kita sendiri. Duit hasil titik peluh rakyat yang bekerja untuk menampung diri dan keluarga," katanya.

Syed Saddiq merujuk kepada kenyataan Perikatan Nasional (PN) akan meneliti pengeluaran KWSP secara bersasar sekiranya menang pada PRU15, 19 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara berkenaan menjadi pertimbangan meskipun ia tidak terdapat dalam tawaran PN pada pilihan raya umum kali ini.

Katanya, itu kerana kerajaan pusat yang diterajuinya sebelum ini pernah membenarkan tiga pengeluaran caruman menerusi inisiatif i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar.

Disiarkan pada: November 7, 2022 @ 12:36pm
d