mutakhir

Sistem ATC tidak stabil punca gangguan LRT

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Sabtu lalu dan semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataannya memaklumkan, pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.

"Setakat 5.30 pagi ini, sistem ATC dapat distabilkan dan perkhidmatan tren telah bermula, namun sebagai langkah keselamatan sistem tersebut masih dalam pemantauan bagi memastikan ia terus stabil," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu sebagai langkah sokongan, perkhidmatan bas akan disediakan sekiranya perlu dan Rapid Rail memohon maaf atas gangguan perjalanan yang terpaksa dihadapi oleh semua pengguna perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Rapid Rail turut memaklumkan Prasarana Malaysia Berhad sedang melaksanakan proses penyelesaian menyeluruh untuk menukar sistem ATC secara keseluruhan dan ia dijangka dimuktamadkan dalam masa beberapa bulan lagi.

Disiarkan pada: November 8, 2022 @ 3:21pm
d