mutakhir

Lelaki lemas tergelincir dari bot penambang

Oleh Norsyazwani Nasri

Mukah: Seorang lelaki lemas selepas terjatuh sungai dipercayai akibat tergelincir ketika hendak turun dari bot penambang di Pengkalan Penambang, Kampung Tanjung di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa lemas itu dikenali sebagai Ajeman Saini, 54, dari Kampung Litong.

Beliau berkata, pemandu bot penambang memberitahu, mangsa naik bot penambang dari jeti pasar lama Mukah menuju ke jeti Kampung Tanjung pada 9.30 pagi.

"Ketika mangsa hendak naik ke atas jeti, dia tergelincir lalu jatuh ke dalam Sungai Batang Mukah,

"Pemandu bot penambang yang mengenali mangsa memberitahu kejadian itu kepada bapa saudaranya sebelum meminta bantuan penduduk kampung dan nelayan untuk mencari mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan jam 11 pagi apabila tersangkut pada pukat yang digunakan dalam pencarian oleh penduduk kampung dan nelayan, tidak jauh dari tempat dia jatuh.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: November 10, 2022 @ 8:49pm
d