mutakhir

Platform tingkat kesedaran

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Penganjuran Debat Malaya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2022 (DMbP2022) menjadi platform untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Menerusi pertandingan itu sejak 4 November lalu, peserta membahaskan pelbagai usul perlindungan keselamatan sosial seperti Iktibar Pandemik Covid-19:

Perkeso Perlu Lebih Diperkasa; Pelaksanaan Mandatori Maternity Benefit di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan; dan juga Skim Perlindungan Sosial Sebagai Subjek Wajib Lulus Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia.

Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pertandingan debat berprestij itu membabitkan 40 pasukan pendebat terbaik dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut universiti terkemuka dari seluruh negara.

Menurutnya, program itu memberi peluang kepada peserta untuk membuktikan keupayaan dan bakat mereka, selain mengasah bakat serta kemahiran berkomunikasi serta memupuk daya fikir kreatif dan kritis dalam menganalisis serta memberikan pandangan berkaitan isu semasa.

"Ia antara usaha mendekatkan generasi muda dengan Perkeso sekali gus meningkatkan pemahaman mengenai perlindungan keselamatan sosial supaya mereka memahami kepentingan perlindungan keselamatan sosial kepada masyarakat serta negara.

"Dalam menerajui perlindungan keselamatan sosial di negara ini, adalah penting bagi Perkeso memastikan semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mapan dan relevan kepada generasi masa hadapan.

"Kami mahu mendengar perspektif generasi muda terhadap perlindungan keselamatan sosial supaya dapat pertimbangkan idea baharu dari mereka dalam perancangan untuk masa hadapan," katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sabri Musa berkata, program debat dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan insaniah seseorang pelajar dengan lebih yakin dengan penguasaan daya penyampaian retorik yang berkesan.

"Melalui Debat Malaya bersama Perkeso tahun ini, peserta dapat mengasah kemahiran berfikir secara kritis kerana spektrum usul yang datang daripada pelbagai bidang, terutamanya pemahaman terhadap isu utama iaitu perlindungan keselamatan sosial," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso Izad Raya berkata, pihaknya sentiasa meneroka pendekatan yang segar dan berbeza dalam memastikan produk dan perkhidmatannya kekal relevan dan diterima baik pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda.

"Program ini berjaya mencungkil bakat pendebat terbaik sepanjang pertandingan, yang bakal dilantik menjadi duta kecil kami.

Mereka akan bersama Perkeso dalam usaha memperkenal dan mempromosi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang ditawarkan terutamanya kepada generasi mereka sendiri," katanya.

Debat Malaya 2022 dianjurkan Majlis Orator Universiti Malaya (Morum) dengan kerjasama Perkeso sebagai penaja utama dan pusingan akhirnya berlangsung semalam di Kompleks Auditorium Perdanasiswa, UM di sini.

Ia membabitkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan UM mengenai usul 'Demi Perlindungan Keselamatan Sosial Yang Lebih Mapan, Dewan Ini Menyokong Perluasan Perlindungan Keselamatan Sosial Dengan Memberikan Pencen Warga Emas'.

Dalam pusingan akhir DMbP 2022 semalam, UM dinobatkan johan selepas mengalahkan UPNM, manakala UM B dan Institut Pendidikan Guru Malaysia berkongsi tempat ketiga.

Wakil UM, Ahmad Akiff Syarafuddin dipilih Pendebat Terbaik Akhir DMbP 2022 manakala Pendebat Terbaik Liga adalah Hafiz Hafizi Norependi dari UKM.

Disiarkan pada: November 12, 2022 @ 9:38pm
d