mutakhir

PRU-15: 'Saya bukan seksis' - Sanusi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Jerlun: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahan kenyataannya dalam satu program sebelum ini, yang dikatakan merendahkan keupayaan calon wanita menjadi Ahli Parlimen Sik.

Beliau menegaskan, ucapannya pada program ceramah berkenaan dibuat dalam konteks bahawa Parlimen Sik dilihat memerlukan Ahli Parlimen lelaki untuk berkhidmat tanpa mengira masa.

"Ceramah saya itu dalam bahasa kampung dan dalam konteks Sik yang mempunyai geografi, sosio-ekonomi, budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

"Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis," katanya ketika ditemui pada program Ceramah Umum Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN) di sini, malam ini.

Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini, mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi Ahli Parlimen di Sik yang kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak.

Pada PRU-15 kali ini, penyandang kerusi Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN) ditentang dua calon wanita iaitu Maizatul Akmam Othman (Barisan Nasional) dan Datuk Latifah Mohd Yatim (Pakatan Harapan).

Muhammad Sanusi berkata, sebagai individu yang lahir dan membesar di Sik, beliau lebih faham apa keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

"Saya duduk di situ lama, semua Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen sebelum ini lelaki dan keperluan itu masih ada sampai sekarang.

"Di tempat lain seperti di Kuala Lumpur dan sesetengah kawasan bandar, mungkin sesuai perempuan (menjadi Ahli Parlimen)," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mohamad Nasir yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa mengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

"Pemuda Pas itu sudah minta maaf, dia terlanjur kata, saya pun tengok video itu.

"Saya rasa banyak orang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah pemaaf," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2022 @ 12:52am
d