mutakhir

LRT laluan Kelana Jaya beroperasi semula esok

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya kepada pengguna mulai 6 pagi esok, iaitu dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau baru sahaja menaiki tren LRT itu sebagai sebahagian daripada ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi.

Katanya, beliau juga diberi taklimat oleh pihak pengurusan dan pakar teknikal Rapid Rail mengenai ujian yang dilakukan sejak malam tadi hingga pagi hari ini.

Menurutnya, sebanyak 38 tren menjalani ujian itu dari Stesen Gombak ke Stesen Putra Height, bagi memastikan ia benar-benar selamat dan sedia digunakan sepenuhnya.

"Sesi ujian malam tadi turut disertai oleh Bahagian Penguatkuasaan Rel (RED) dan Bahagian Perancangan Rel (REL), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Tinjauan menunjukkan sistem-sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

"Saya amat berpuas hati dengan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan. APAD juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya," katanya menerusi video dimuat naik di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Wee berkata, pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan juga pihak pengilang asal (OEM) akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.

"Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk ulang alik ke tempat kerja dan untuk menjalankan aktiviti harian.

"Saya juga sudah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas-bas perantara di stesen-stesen 'hot spot' sebagai langkah persediaan.

"Seperti yang saya sudah sebutkan pada sidang media pada 11 November lalu, saya meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu supaya masalah seperti ini tidak berulang," katanya.

Mengenai pampasan kepada pengguna terjejas, katanya, pampasan tiket perjalanan diberi mengikut bilangan hari yang terjejas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan pihak yang terbabit dalam pembaikan proses pemulihan semula LRT Laluan Kelana Jaya bermula hari pertama ia tergendala, 9 November lalu.

"Tidak dilupakan juga kepada seluruh warga Rapid Bus, Smart Selangor dan Mara Liner yang menyediakan lebih 100 bas perantara percuma setiap hari, petugas di stesen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kakitangan sokongan yang membantu melancarkan perjalanan penumpang LRT yang terjejas.

"Saya juga melihat di media sosial ada dalam kalangan warga kota yang turut membantu menyediakan 'shuttle' percuma dengan kenderaan sendiri, mengangkut penumpang dari stesen LRT ke destinasi mereka.

"Usaha ini amat dipuji dan adalah bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC).

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Disiarkan pada: November 13, 2022 @ 5:27pm
d