mutakhir

PRU-15: Tol percuma pada 18, 19 November [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kerajaan mengumumkan tawaran tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya pada 18 dan 19 November ini, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, sebanyak 30 konsesi lebuh raya bersetuju tawar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU-15.

"Ia bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November," katanya ketika merasmikan pecah tanah Wisma Cuepacs Putrajaya, di sini, petang ini.

Hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejumlah RM34.5 juta dianggar akan ditanggung susulan inisiatif tol percuma.

"Ia membabitkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja, yang

dianggarkan sekitar 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya," katanya.

Menurutnya, tol percuma itu juga dapat meringankan serba sedikit beban kewangan warga negara dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan, tarikh pembayaran gaji penjawat awam bagi November 2022 diawalkan kepada 17 November, manakala pesara menerima bayaran pencen hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri turut mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November yang mana hak mengundi adalah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 6:57pm
d