mutakhir

Warga emas mengaku tak salah pukul anak guna paip PVC

Oleh Faris Fuad

Ampang: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memukul anak perempuan berusia 16 tahun, menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC).

Bagaimanapun, Amin Husaini Tan Abdullah, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, Amin Husaini menyebabkan kecederaan ke atas remaja itu di kediamannya di Ampang Jaya, pada 9 September lalu, jam 6 petang.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Zulhasnan, mencadangkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak memohon jaminan dikurangkan.

"Ia susulan tertuduh mempunyai 10 anak dan tidak bekerja atas faktor usia serta kesihatan," katanya.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember ini untuk sebutan kes.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 3:04pm
d