mutakhir

Menggigil, lemah semangat tengok video suami hampir dihempap lori

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Berpantang maut sebelum ajal. seorang penunggang motosikal nyaris maut dihempap sebuah lori simen yang dipercayai terbabas dalam satu kejadian di Persiaran Pulau Lumut, Alam Budiman, Seksyen U10, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 9.33 pagi itu, dia yang menunggang motosikal seorang diri bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu, mangsa sempat mengelak dan hanya terkena sipi bahagian belakang lori terbabit.

Video terbabit turut dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook dipercayai isteri mangsa yang dikenali sebagai Noor Nazrah.

"Allahuakbar menggigil satu badan dapat video ini, menangis depan suami… teresak-esak cakap Allah sayang kita.. Allah bagi peluang pada kita.

"Yang bawa motosikal itu (merujuk video tular) suami saya, Alhamdulillah Allah Maha Baik, Allah bagi peluang pada kami semua..lemah semangat tengok video ini... terus panas badan macam nak demam," luahnya dalam hantaran di Facebook itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu, 11.17 pagi, semalam.

"Kejadian berlaku ketika lori membawa muatan simen (buyung) bergerak masuk susur sebelah kiri dari arah Persiaran Mokhtar Dahari hilang kawalan dan terbabas masuk ke haluan bertentangan disebabkan keadaan jalan susur yang sedikit menurun.

"Akibat kejadian ini, lori terbabit terbalik dan bahagian belakang lori terkena sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan," katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan di hospital terdekat.

"Kes ini disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Sarjan Mohd Riduwan Hamidi di talian 011-26928229," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 3:14pm
d