mutakhir

Waspada sindiket eksploitasi penuntut asing - PPIM

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Mengaku sebagai ahli keluarga, wujud sindiket yang mengeksploitasi pelancong asing terutama penuntut dari luar negara dengan menjanjikan peluang pekerjaan secara online.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, seorang penuntut warga China diselamatkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila dia diganggu sindiket yang menyamar sebagai ahli keluarga dan ingin membawanya pulang selepas ditahan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Cecilia, 24, berkata, dia memohon pekerjaan menerusi Facebook bulan lalu sebelum berjumpa seorang lelaki yang menawarkan bekerja di sebuah kelab.

Katanya, sempat bekerja selama sejam sebagai pengangkat minuman, dia kemudian ditahan Jabatan Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan visa.

"Sebaik membayar denda, ada seorang lelaki datang untuk mengambil saya dan mengakui sebagai ahli keluarga.

"Sedangkan sebelum itu ahli keluarga saya menghubungi aktivis PPIM untuk bantuan. Jadi saya hairan siapa yang mengaku sebagai ahli keluarga.

"Selepas itu saya sering diganggu oleh pemanggil yang tidak dikenali yang turut menghubungi ibu saya di China untuk meminta wang berjumlah RM32,000," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada pihak berwajib bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

Katanya ia akan menjejaskan imej negara terutama kepada pelancong asing sama ada yang menyambung pengajian di negara ini.

"Mujur kita sampai tepat pada masanya. Sindiket berkenaan turut bertekak dengan sekretariat PPIM sebelum berlalu pergi.

"PPIM berterima kasih kepada JIM dan penghantar makanan yang turut membantu mangsa yang ketakutan selepas diganggu sindiket berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2022 @ 4:32pm
d