mutakhir

Petronas sahkan insiden kebakaran di saluran Paip Gas Sabah-Sarawak

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden kebakaran berlaku di Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP 132, berdekatan Lawas, Sarawak pada lewat tengah tadi.

Petronas berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja-kerja tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip.

"Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat minyak dan gas milik negara itu berkata, ia telah menggerakkan pasukan bertindak kecemasan ke kawasan insiden berkenaan.

"Petronas sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitarnya," katanya.

Sebelum itu, media melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera selepas SSGP Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada kira-kira 2 petang tadi.

Disiarkan pada: November 16, 2022 @ 10:18pm
d