mutakhir

PRU-15: Pusat pengundian ditukar lokasi akibat banjir

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Pusat pengundian di beberapa kawasan yang dilanda banjir di utara Sarawak ditukar ke lokasi lain bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, bagaimanapun berkata, jumlah sebenar lokasi terbabit masih belum diperoleh.

"Berdasarkan maklumat awal, Ketua Polis Daerah di lokasi yang terbabit banjir itu sudah berbincang dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di pusat pengundian untuk melaksanakan langkah perlu berikutan pusat yang diwartakan dilanda banjir.

"Maklumat penuh berhubung perkara itu akan kami maklumkan petang nanti," katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang, di sini, hari ini.

Beberapa kawasan di Bahagian Limbang antaranya di Mendamit, Sundar dan Trusan manakala di hulu Baram dalam Bahagian Miri dilanda banjir sejak Selasa lalu.

Sementara itu, Mohd Azman berkata, sehingga jam 10 pagi ini tiada sebarang kejadian yang menggugat keselamatan serta mengganggu proses pilihan raya Raya berlaku di seluruh negeri.

Menurutnya, pada hari terakhir berkempen semalam, sebanyak tiga aktiviti ceramah parti didapati tidak mempunyai permit.

"Semalam, polis menerima sebanyak 171 permit untuk mengadakan ceramah, bagaimana terdapat tiga ceramah yang diadakan di Sarikei didapati tidak mempunyai permit dan tindakan akan diambil mengikut Akta Pilihanraya," katanya.

Selain itu katanya, sepanjang tempoh berkempen seramai lapan individu ditahan kerana merosakkan bahan kempen.

Disiarkan pada: November 19, 2022 @ 10:33am
d