mutakhir

PRU-15: Wanita dalam pantang mengundi saat akhir [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Dalam masa berbaki 10 minit sebelum pusat pengundian ditutup, seorang wanita dalam pantang, Norazmira Mohd Noor tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu di sini, hari ini untuk mengundi.

Norazmira, 35, yang dalam pantang tiga minggu kerana bersalin anak keempat tiba di pusat pengundian itu pada jam 5.40 petang dengan ditemani adiknya, Mohd Safuan, 32.

Menurutnya, dia tidak berkesempatan untuk datang mengundi lebih awal kerana bayi perempuannya tidak sihat selain tidak mahu bersesak dengan pengundi lain.

"Anak saya demam dan meragam menyebabkan saya tidak boleh meninggalkannya namun dalam masa yang sama berasa sayang jika tidak mengambil peluang untuk mengundi hari ini.

"Selepas diberikan ubat dan bayi saya tidur barulah saya bergegas datang ke sini untuk mengundi walau masih belum sembuh sepenuhnya dari luka bersalin dengan ditemani adik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pengundian pada saat akhir turut dilakukan seorang pengamal media, Rohana Ismail, 46, yang mengundi di SK Chabang Empat di sini.

Rohana berkata, kesibukan membuat liputan sejak 8 pagi membataskan pergerakannya untuk mengundi lebih awal selain perlu ke beberapa lokasi untuk mencari berita.

"Walau agak berdebar kerana bimbang tidak sempat, saya berjaya tiba di pusat pengundian kira-kira 15 minit sebelum proses mengundi ditutup.

"Alhamdulillah, berjaya juga tunaikan tanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2022 @ 6:41pm
d