mutakhir

PRU-15: Pas menang semua kerusi parlimen di Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pas mencipta rekod apabila berjaya memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu diumumkan oleh Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab selepas pihaknya mendapat keputusan rasmi di semua Parlimen.

Berdasarkan keputusan itu, Parlimen Tumpat mendapat majoriti 34,793 undi diikuti Pengkalan Chepa (38,270 undi), Kota Bharu (22,613 undi), Pasir Mas (30,717 undi), Bachok (29,901 undi), Ketereh (23,107 undi), Tanah Merah (44,485 undi).

Manakala, Pasir Puteh mendapat majoriti (29,109 undi) Machang (10,154 undi), Kuala Krai (25,188 undi), Gua Musang (163 undi), Jeli (12,464 undi), Rantau Panjang (20,636 undi) dan Kubang Kerian (40,847 undi).

Kemenangan itu menyaksikan Pas merampas tiga kerusi Parlimen milik Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Gua Musang, Ketereh dan Machang.

Keputusan Itu Juga Menyaksikan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub Tewas Kepada Calon Pas, Wan Ahmad Fasyhal Wan Kamal Di Parlimen Machang.

Parlimen Gua Musang juga merekodkan sejarah apabila Calon Pas, Mohd Azizi Abu Naim berjaya menewaskan calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyandang Parlimen berkenaan selama 11 penggal.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar dengan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen itu.

Beliau berkata, kemenangan itu sangat bermakna buat PN dan menandakan gelombang luar biasa yang dapat disaksikan hari ini.

"Saya selaku Pengerusi PN Kelantan berterima kasih kepada semua penyokong dan pengundi luar yang memberi sokongan kepada PN.

"Dengan kemenangan ini, kita akan terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 12:50am
d