mutakhir

PRU-15: 'Saya amat terkejut dengan majoriti besar ini' - Wan Ahmad Fayhsal

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Calon Pas Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal bersyukur kerana memperoleh kemenangan di kerusi itu.

Beliau mengakui amat terkejut kerana mendapat majoriti besar memandangkan bertanding dengan penyandang Parlimen Machang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur dengan kemenangan ini dan saya amat terkejut dengan majoriti besar itu.

"Ini semua hasil kerja keras jentera Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas dan Bersatu," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal menang dengan majoriti 10,154 undi. Beliau mendapat undian sebanyak 35,603 undi mengalahkan Ahmad Jazlan yang mendapat 25,449 undi.

Parlimen Machang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr Rosli Allani Abdul Kadir dengan undian sebanyak 3,934 undi

dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mejar (B) Muhammad Seman sebanyak 128 undi.

Wan Ahmad Fasyhal berkata, beliau tidak sampai sebulan berada di bumi Machang, namun mendapat kepercayaan daripada pengundi.

"Saya insafi (kemenangan) dan Insya-Allah ini satu amanah dan mandat yang berat, namun saya akan tunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 1:41am
d