mutakhir

PRU-15: 'Saya rasa seperti mimpi' - Roslan

Oleh Wartawan HM

Bandar Baharu: 'Saya rasa seperti bermimpi. Tidak sangka menang dan kalahkan mereka yang lebih kuat dari saya.

"Macam tak percaya, tetapi itulah amanah yang saya akan pikul untuk berkhidmat kepada rakyat di Kulim Bandar Baharu. Terima kasih kepada semua yang memberi kepercayaan dan membantu kempen ini," kata Roslan Hashim.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu diumumkan sebagai pemenang selepas menewaskan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti lebih 13,000 undi.

Katanya, ketika mula menerima laporan penjumlahan undi, dia rasa seperti bermimpi kerana tidak pernah terfikir akan menjadi ahli Yang Berhormat.

Menurutnya, kemenangan ini hasil kerja kuat jentera PN yang bertungkus lumus menjayakan kempen sepanjang dua minggu lalu.

Ditanya mengenai perancangan awalnya, Roslan yang juga seorang guru berkata, dia akan mengadakan kenduri kesyukuran kepada pengundi dan jentera dalam masa terdekat.

"Saya juga akan mengadakan lawatan ke agensi kerajaan sebagai kunjung hormat dan menjalin hubungan rapat.

"Semuanya ini untuk memudahkan urusan saya sebagai wakil rakyat nanti, membalas kepercayaan yang diberikan pengundi kepada saya. Terima kasih semua," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 2:24am
d