mutakhir

Warisan sokong Kerajaan Persekutuan beri kestabilan negara - Mohd Shafie

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan yang mampu memberi kestabilan kepada negara dan menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin atau parti, beliau berkata, Warisan ada menerima panggilan telefon daripada beberapa pemimpin politik, yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dan parti itu sedang menimbangnya dengan sebaik mungkin.

"Apa yang penting kepada kita kestabilan negara, kepentingan (negeri-negeri) Borneo untuk rakyat, walaupun jumlah (kerusi Parlimen Warisan) kecil, namun ia mampu menambah kestabilan kepada politik di negara ini dan sesiapa yang mahu bentuk kerajaan Persekutuan perlukan sokongan ini.

"Sesiapa sahaja yang mahukan kerjasama kita, perlu menimbang apa yang menjadi 'fundamental' kepada perjuangan kita (termasuk) kepentingan rakyat, Borneo (Sabah dan Sarawak) dan juga 'survival' Warisan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat parti itu di Kolombong di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Warisan yang bertanding di 52 kerusi Parlimen seluruh negara memenangi tiga kerusi Parlimen dengan Mohd Shafie sendiri mempertahankan Parlimen Semporna, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) dan Datuk Mohamad Yusof Apdal (Lahad Datu).

Ditanya mengenai perancangan Warisan selepas ini, beliau berkata, sudah sememangnya parti itu mahu mengukuhkan kedudukan di Sabah, namun dalam masa sama tidak akan sama sekali mengabaikan apa yang telah parti itu bina di Semenanjung.

"Kita sudah ada struktur dan beberapa kawasan terima ribuan undi, kita tidak boleh katakan tiada langsung penerimaan rakyat Semenanjung kepada Warisan, mungkin rasa terlalu awal untuk kita peroleh kemenangan, proses ini ambil masa untuk kenali Warisan, calon, manifesto dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, selain peringkat kerajaan Persekutuan, Warisan yang mempunyai 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan satu kerusi DUN di Selangor masih perlu memainkan peranan di peringkat negeri.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 3:04pm
d