mutakhir

Isham cadang BN jadi pembangkang

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Hizatul Isham Abdul Jalil mencadangkan supaya blok Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang untuk menyemak imbang kerajaan dan tidak menyertai mana-mana gabungan kerajaan campuran.

Katanya, rakyat sudah memilih BN sebagai pembangkang dan perlu menghormati kemahuan rakyat.

"Semasa 22 bulan kita menjadi pembangkang selepas PRU-14 dahulu, rakyat kembali menyokong kita, namun sokongan dan kepercayaan terhakis apabila kita membentuk kerajaan campuran selepas Langkah Sheraton.

"Kini sebagai pembangkang, kita dalam Umno dan Barisan Nasional boleh bina semula kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap kita berbanding jika kita menjadi kerajaan pada masa ini. Kita perlu berani menjadi pembangkang yang kuat," katanya di Facebook hari ini.

Beliau turut mahu melihat Umno melihat ke hadapan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang.

"Sekiranya kita terus ikhlas dan jujur dalam perjuangan, Insya-Allah...Allah SWT akan bantu kita mencapai kejayaan.

"Umno adalah parti yang banyak berjasa kepada negara dan rakyat. Jika kita menuju ke jalan yang lurus, nescaya perjuangan kita akan diredai Allah," katanya.

Menurutnya, beliau pasti akar umbi Umno akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan ini, walaupun dengan apa jua cabaran dan dugaan yang melanda seperti yang dihadapi sebelum ini.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 4:40pm
d