mutakhir

Ismail Sabri selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, hari ini.

Beliau yang menaiki kereta Audi berwarna hitam tiba di Pintu Utama Istana Negara jam 2.50 petang tadi sebelum kenderaan itu dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara jam 4.15 petang tadi.

Beliau juga sempat menurunkan tingkap kenderaan dan melambai ke arah pengamal media yang berkumpul di Pintu Utama Istana Negara seawal jam 9 pagi tadi.

Selain itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dipercayai membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dilihat keluar dari Pintu Utama Istana Negara jam 4.18 petang tadi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang hari ini.

Bagaimanapun, baginda, hari ini, memperkenan tempoh berkenaan dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan kini berada dalam keadaan tergantung atau 'hung parliament' selepas SPR mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15, semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata, setakat jam 4.30 pagi, semalam, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).

Disiarkan pada: November 21, 2022 @ 4:37pm
d