mutakhir

Hishammuddin nafi ditawar jawatan Perdana Menteri

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Hishammuddin menerusi hantaran di Facebook awal pagi ini, berkata pihaknya tidak terbabit dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN mahupun Pakatan Harapan (PH).

Beliau antara lain menegaskan bakal mengambil tindakan perundangan ke atas sebuah portal media tempatan yang menyiarkan dakwaan itu, jika agensi berita terbabit tidak menarik balik artikel berkenaan secara serta-merta.

"Ramai menyebarkan artikel ini, saya ingin mengesahkan dakwaan ini tidak benar sama sekali.

"Saya juga tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan," kata Ahli Parlimen Sembrong itu.

Terdahulu, portal media terbabit melaporkan, PN didakwa menawarkan BN jawatan Perdana Menteri Ke-10 jika kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

Berdasarkan laporan itu, Majlis Tertinggi BN akan berbincang sama ada menerima tawaran PN atau PH bagi membentuk kerajaan baharu.

Laporan sama turut memaklumkan, sumber daripada beberapa parti komponen BN turut mendedahkan keputusan mengenainya akan disampaikan kepada 30 Ahli Parlimen BN esok, seterusnya perlu diterima.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 8:11am
d