mutakhir

Bainun bela diri atau bebas diketahui pagi ini [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tiba di Mahkamah Sesyen di sini, bagi prosiding keputusan sama ada beliau perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 30, yang memakai baju kurung hitam dan tudung merah jambu, hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, jam 8.57 pagi.

Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, maka dia akan dipanggil membela diri

Jika sebaliknya, pengasas rumah kebajikan itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Kes itu dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Peguam-peguam, Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Terdahulu, Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 9:15am
d